Monday, November 9, 2009

MASALAH MURID / REMAJA SEKARANG 1….

BERCAKAP NISTA


B**I KAU!, S**L!, C****A! M****S!

Perkataan ini seringkali kita dengar dari bibir manis remaja sekarang. Semakin hari semakin hebat fenomena ini. Seperti jika ada remaja yang masih belum mengungkapkannya, maka ia tidak mengikut trend terkini. Apakah ini sandaran kepada peribadi insan berpekerti elok di mata masyarakat Islam atau bukan Islam??


Amat jarang kita melihat dan mendengar kalimah-kalimah berikut meniti di bibir-bibir remaja kini, seperti


Subhanallah

Alhamdulillah

Astaghfirullah

La Ilaha Illah


Sebagaimana firman Allah dalam surah Ibrahim ayat 24-26


Jelas membuktikan bahawa, Allah S.W.T tidak pernah menggesa, menggalakkan, dan mengarahkan umat Islam mengeluarkan perkataan-perkataan sedemikian. Walhal, jikalau remaja Islam itu meletakkan batu asas akidah Islam yang mantap, pasti mereka segan untuk mengeluarkan perkataan sedemikian.


Allah membuat perumpamaan kalimah yang baik yang diungkapkan dan diucapkan oleh manusia adalah satu ibadah dan diberi ganjaran pahala, Insya-Allah. Seperti Allah S.W.T memberikan sebuah pokok kepadanya, dengan mempunyai akar yang teguh dan pucuknya meninggi ke langit serta mengeluarkan buah setiap masa…


Mengapa Allah S.W.T menjanjikan pokok itu mengeluarkan buah sepanjang masa? Kerana setiap perkataan yang baik itu akan memberikan kita rangsangan untuk menjadikan diri kita lebih baik daripada yang kurang baik. Sebagai contoh, seandainya ada daripada kalangan kita yang sentiasa berzikir, dengan bertahmid, bertakbir, bertasbih, apakah dia suka untuk melakukan perkara yang lagha (sia-sia). Apakah mereka akan suka melakukan larangan Allah? Sudah pasti, mereka akan malu untuk mencuba melakukan keburukan. Oleh sebab itu, Allah menjanjikan buah atau hasil sepanjang masa itu merupakan kebaikan yang Allah S.W.T akan berikan kepada hamba-hamba-Nya yang sentiasa memelihara bibirnya daripada mengeluarkan kata-kata nista.


Elakkan daripada mengeluarkan dan melazimi perkataan yang buruk dan keji. Seperti mengumpat, mengejek, menghina, menipu, berbohong, melawan dengan kata-kata kasar dan kesat sama ada kepada kedua ibu bapa ataupun kepada guru.


Masalah yang dihadapi pelajar remaja sekarang ini ialah di bibirnya selalu dilafazkan dengan kata-kata keji dan kesat. Yang paling mendukacitakan ialah ada peristiwa di mana, murid ini mencela dengan perkataan nista kepada ibu bapa mereka, ada pula yang sanggup melawan dan mengeji tindakan guru yang menasihati mereka.


Bagaimanakah peribadi ini mampu melonjakkan keinginan untuk menjadi muslim dan muslimah sejati. Sukar untuk mencerminkan akhlak mahmudah jika ini diterapkan dalam kehidupan.


Menurut pemerhatian saya dan sedikit kajian ilmiah, ada beberapa sebab mengapa situasi ini berterusan sama sejak mereka berada pada tahap sekolah rendah hingga menengah. Antara puncanya ialah:


1. Selalu bergaul dengan rakan-rakan yang memiliki sikap sebegini.

2. Mengikut trend, jikalau tidak malu kerana tidak seiring dengan trend terkini.

3. Kurang peneguhan dan teguran yang berterusan daripada ibu bapa dan guru.

4. Kekurangan penghayatan mendalam tentang akidah Islamiyah.


Saya suka menghuraikan perkara ke empat terlebih dahulu. Mengapa saya begitu berminat dalam perkara ini. Sudah lama saya perhatikan, remaja sekarang ini tahu dan tahu bahawa setiap perbuatan dan tindakan mereka akan diperhatikan dan dinilai oleh Allah S.W.T. Masalahnya ialah, mereka tetap melakukannya. Apa sudah jadi? Kerana mereka tidak menghayati Rukun Iman dengan teliti dan terperinci. Mereka tidak menyematkan dalam sanubari dan hati mereka keyakinan yang betul-betul mantap kepada Allah S.W.T, bahkan ada yang membuat analogi bahawa, Allah akan mengubah mereka kelak, jikalau mereka dah bersedia untuk berubah. Nah! Ini masalah akidah, jikalau semua pihak tidak melibatkan diri, kelak akan memusnahkan jati diri remaja sekarang..


Wahai remaja sekarang, sedarlah bahawa, seandainya kamu tidak membuka diri dan hati kamu untuk berubah maka, kelak kamu akan terasa susah untuk membina keindahan akhlak mahmudah dalam diri kamu. Percayalah, Allah S.W.T akan sentiasa menyayangi dan mengasihi sekiranya kamu memahatkan cinta kamu kepada Allah. Percayalah, cintakan bunga, bunga kelak akan layu, cintakan manusia, kelak manusia akan mati, tetapi cintakan Illahi Rabbi, ia akan kekal abadi dan itulah cinta yang hakiki.

No comments:

Post a Comment