Thursday, August 27, 2009

INSRTUCTIONAL DESIGN

SATU PERUBAHAN JAMINAN KEJAYAAN BERTERUSAN

Keberkesanan pengajaran guru akan menghasilkan hasil pembelajaran yang berkualiti. Bagaimana kaedah yang diperlukan untuk menghasilkan pengajaran yang berkesan? Oleh sebab itulah, wujudnya proses rekabentuk pengajaran. Menurut
Dick & Reiser (1989), rekabentuk pengajaran ialah suatu proses sistematik untuk mereka bentuk, membangun, melaksana dan menilai pengajaran. Setiap pengajaran yang dilakukan oleh guru akan menjadi lebih sistematik dan berkesan apabila guru menerapkan rekabentuk pengajaran dalam proses pengajaran mereka. Ia disebabkan oleh guru akan menghasilkan strategi pengajaran mereka seterusnya membangunkan kaedah tersebut dan membuat penilaian. Situasi ini akan memberikan keyakinan bahawa pengajaran mereka memang berkualiti dan mampu mencapai sasaran.


Rekabentuk pengajaran juga akan memudahkan penyampaian guru seterusnya memudahkan proses pembelajaran. Dengan pemilihan model rekabentuk pengajaran, kemudian ia disesuaikan dengan murid, pembelajaran akan menjadi satu proses yang menyeronokkan. Menurut Richey (1986) rekabentuk pengajaran merupakan sains untuk mencipta spesifikasi pengajaran dengan terperinci untuk pengembangan, penilaian dan penyelenggaraan suatu keadaan yang boleh memudahkan pembelajaran sesuatu unit pelajaran tidak kira kecil atau besar dalam sesuatu mata pelajaran.

Rekabentuk pengajaran merupakan satu kaedah terbaik dalam memastikan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran. Ia merupakan satu pembangunan yang sistematik dalam mengaplikasikan teori pembelajaran bagi menghasilkan pengajaran yang berkualiti. Proses ini ialah satu proses penting kerana ia menganalisis matlamat pembelajaran yang akan dicapai melalui cara penyampaian pengajaran yang dilaksanakan. Perkara ini secara langsung membuktikan bahawa model rekabentuk pengajaran mempunyai kaitan dengan teori pembelajaran dan cara membangunkan sistem pembelajaran (Gross et. al, 1997).

Dalam menghasilkan murid yang berkualiti, guru-guru juga perlu memberikan yang terbaik kepada murid. Proses pengajaran yang kurang berkualiti perlu diperbaiki sejajar dengan kehendak masyarakat dan negara dalam merealisasikan sebuah komuniti pelajar yang berintelektual. Dalam hal ini, seharusnya guru perlu mencermin kembali kaedah pengajaran mereka sama ada ia memberikan impak ataupun sebaliknya. Proses pengajaran merupakan proses bekerja bersama pelajar untuk membantu mereka berkebolehan dan berkemungkinan untuk belajar (Ramsden 1993; Trigwel, Prosser, & Lyons 1997). Oleh itu guru mesti merealisasikan proses kerjasama ini supaya penyampaian ilmiah sampai kepada murid.

Pengajaran juga adalah konsep yang menekankan murid mesti mencapai hasil pembelajaran yang telah ditetapkan oleh Huraian Sukatan Pelajaran. Apabila semua guru memastikan setiap murid mencapai hasil pembelajaran, maka akan berlaku perubahan sama ada dari aspek tingkahlaku mahupun kognitif. Menurut Ramsden (1988) belajar atau pembelajaran di sekolah seharusnya merupakan satu pergerakan ke arah pembentukan insan yang berupaya menyelesaikan persoalan yang kompleks, mengiktiraf kuasa dan keelokan konsep-konsep sesuatu bidang pelajar, dan menggunakan ilmu yang dipelajari di dalam kelas untuk menyelesaikan masalah di luar kelas.



MENGAPAKAH IA DIPERLUKAN?

Rekabentuk pengajaran adalah akses untuk memberikan pengalaman berguna kepada murid. Dengan mengimplimentasikannya, murid akan menjadi lebih aktif belajar, tidak mudah jemu dan yang paling penting, semasa mengajar guru tidak terlalu letih bercakap. Tidak lekang dengan budaya, jika guru biasa bercakap di dalam kelas untuk memberikan penerangan. Tetapi kaedah ini terlalu tradisional dan menyebabkan murid hanya bertahan dalam masa sebulan. Paling tidak, guru yang letih untuk berceloteh.

Penggunaan model-model rekabentuk pengajaran mampu menjana dan mencetuskan lava minat murid untuk terus berada dalam kelas bagi melibatkan diri dalam aktiviti yang kita rancang. Konsentrasi dan perhatian perlu bagi memastikan hasil pembelajaran yang ditetapkan tercapai. Mengapakah murid dikatakan tidak mudah jemu? Mudah sahaja. Jikalau kita hanya menggunakan pendekatan yang sama setiap masa contoh, ”Murid-murid, sila buka muka surat 186, dan baca serta fahamkan. Sekejap lagi guru terangkan”. Tidak salah jikalau guru merasakan ini kaedah terbaik untuk murid kelas mereka, tetapi cuba kita murnikan semula. Sebagai contoh, ”Murid-murid, sila buka muka surat 186, baca dan lihat borang yang cikgu sediakan, kemudian cuba keluarkan isi penting berdasarkan aspek yang telah ditetapkan. Selepas itu, gunakan komputer secara berpasangan kemudian taip semula menggunakan Ms Word. Selepas itu, sila hantar ke emel cikgu dengan melaksanakan kaedah attach". Manakah yang lebih interaktif dan mampu mencetuskan lava minat murid untuk terus bersama guru? Sudah tentu cara yang kedua.



Rekabentuk pengajaran juga mampu memberikan pilihan terbaik kepada guru untuk melaksanakan proses pembelajaran. Berbeza era 90-an, kebanyakan guru biasa menggunakan kaedah dan BBM yang biasa dilihat. Tetapi sekarang, dengan peredaran era ICT, apalah salahnya menerapkan sedikit dalam pembelajaran murid.

Sedarlah wahai warga pendidik, kita seringkali menolak apabila perkara baru yang kita rasa tidak sesuai dengan fitrah naluri guru kita, tetapi cuba dalami, kemudian aplikasikan dalam kelas-kelas tertentu, kami yakin, anda akan tersenyum sendiri semasa di dalam kelas kerana kebanyakan kerja-kerja yang selama ini kita tolong murid untuk selesaikan, tetapi murid yang akan menyelesaikan untuk diri mereka sendiri. Yang pasti ialah, wajar sekali guru membimbing dan mendidik mereka ke arah pembentukan sahsiah seterusnya untuk berjaya dalam peperiksaan.

1 comment:

  1. Salam...

    daripada apa yang saya lihat ada sebahagian guru pada hari ini tidak menyediakan rancangan mengajar dengan sebaiknya tetapi apa yang mereka sediakan ialah laporan. Laporan bukannya persediaan. Biasanya rekod mengajar ditulis selepas guru mengajar. Masa praktikum rajin sgt sedia dan rancang P&P. tapi bila dah jadi guru sebenar..yg ada ditangan hanya marker dan buku rekod.

    ReplyDelete